Amuk Kaki Joran

KERETA MANGSA KEMARAHAN PEMANCING: Inilah kereta milik penganjur
pertandingan pancing yang dihumban ke laut oleh sekumpulan
kaki pancing yang mengamuk menuntut hadiah bagi
pertandingan itu di Kuala Sungai Baru,
dekat Kangar, jam 5 petang semalam.
Mereka turut membelasah teruk dua lelaki dalam lingkungan umur 40-an dipercayai pegawai pertandingan ‘Duga Kail Perlis 2006’ sebelum diselamatkan anggota polis dalam kejadian itu di Kuala Sungai Baru, dekat sini, kira-kira jam 5 petang, semalam.
Kekecohan berlaku apabila penganjur pertandingan gagal menyediakan hadiah yang dijanjikan dan enggan mengembalikan yuran penyertaan antara RM40 hingga RM50 seorang sehingga menyebabkan peserta mengamuk.Penganjur dikatakan menawarkan hadiah menarik iaitu tempat pertama wang tunai RM8,000 serta pakej melancong ke Medan, Indonesia selain pakej cabutan bertuah kereta GEN.2.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Md Diah, berkata polis terpaksa menyelamatkan dua pegawai yang terbabit dalam penganjuran itu daripada terus dibelasah peserta. Mereka kini ditempatkan di balai polis berdekatan.
“Kita percaya kekecohan ini berlaku berikutan penganjur mungkir janji dan gagal menyediakan hadiah ditawarkan.
“Kita sudah mengenal pasti beberapa lelaki yang disyaki menghumban kereta penganjur ke laut,†katanya di tempat kejadian.
Beliau berkata, lebih 20 anggota polis, termasuk berpakaian biasa bergegas ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan sejurus menerima laporan berhubung kekecohan pada pertandingan memancing itu.
Katanya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan, termasuk menyoal siasat dua lelaki yang diselamatkan itu. Setakat keadaan terkawal dan orang ramai diarahkan tidak berkumpul di persisiran pantai itu.
Tinjauan Berita Minggu mendapati kereta baru jenis Hyundai milik penganjur remuk dan cerminnya pecah dipercayai diketuk peserta sebelum dihumban ke laut. Kereta itu masih berada di dalam laut.
Seorang peserta, Shafie Sawal, 54 dari Padang Besar, dekat sini, berkata peserta menyedari ditipu apabila mendapati hadiah dijanjikan tidak ada apabila pertandingan itu berakhir kira-kira jam 3.30 petang.


